Tuesday, February 15, 2011

Sicilian Defense, Najdorf Variation : 6.Bg5 e5?! Oppsss...

Selamat bercuti sempena menyambut Maulidur Rasul. Kali ini saya ingin berkongsi satu lagi permainan yang mengandungi kesalahan dalam fasa opening, iaitu Pertahanan Sicilian, variasi Najdorf. Pertahanan ini adalah antara pertahanan yang dimainkan dalam MSSM 2010. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan Pertahanan Sicilian.

Selepas 1...c5
1.e4 c5
Hitam menghalang putih daripada terus bermain d4. Inilah yang dinamakan Pertahanan Sicilian, merupakan antara pertahanan yang popular dimainkan di negara kita. Gerakan hitam ...c5 bukan hanya untuk merebut petak tengah d4, tetapi lebih kepada membuka peluang hitam melakukan counter-attack pada sayap Queen. Hasilnya, serangan putih akan lebih ditumpukan kepada sayap King sementara hitam pula sebaliknya, iaitu pada sayap Queen. Permainan Sicilian menjadi sangat menarik kerana kita boleh melihat bagaimana putih dan hitam saling berlumba untuk melancarkan serangan!


2.Nf3 Develop sambil mengawal petak tengah d4 dan e5.


2...d6 Membuka ruang untuk laluan Bishop sambil mengawal petak e5.



Selepas 4.Nxd4
3.d4 cxd4 4.Nxd4
Putih membuat pertukaran antara pawn-d dan pawn-c milik hitam. Hitam mempunyai 2 centre pawns (d6 & e7) sementara putih hanya mempunyai 1 pawn centre (e4). Namun putih lebih agresif kerana telah develop 1 piece berbanding hitam dan laluan telah dibuka untuk kegunaan Queen dan 2 Bishop.


4...Nf6 Develop sambil attack pawn e4. 


5.Nc3 Develop sambil melindungi pawn e4.


5...a6
Selepas 5...a6
Inilah antara ciri-ciri Variasi Najdorf dalam Pertahanan Sicilian. Hitam bermain gerakan menunggu (waiting move) ...a6 untuk melihat bagaimanakah rentak putih memulakan serangan. Putih tidak boleh bermain pasif kerana hitam sudah mula mengatur gerak untuk menguasai Queenside. Hitam akan menyusun struktur pawnnya berdasarkan rentak serangan putih. Putih boleh memilih untuk menyerang dengan bermain 6.Bc4, 6.Bg5, 6.Be2, 6.Be3, 6.f4, 6.g3 dsb. Pertahanan ini telah digunakan dengan jayanya oleh juara dunia seperti GM Garry Kasparov dan GM Bobby Fischer termasuk GM Anand. Variasi ini mendapat namanya daripada GM Argentina iaitu Miguel Najdorf. Beliau dilahirkan di Poland pada 1910 tetapi telah menetap di Argentina bermula pada 1939 ketika perang meletus di Poland. Perlu diketahui bahawa Najdorf bukanlah orang yang pertama mencipta sistem pertahanan ini, tetapi dia ialah orang yang mempopularkannya.




6.Bg5
Putih memilih untuk bermain variasi yang paling tajam dalam pertahanan ini. Dalam variasi ini, sebarang kesilapan akan membawa padah. Dalam kejohanan MSSM yang lalu, terdapat beberapa contoh permainan yang bermula dengan serangan 6.Bg5 ini. Terdapat 2 cara yang boleh dipilih oleh Hitam untuk membalas gerakan ini iaitu 6...e6 yang biasa dimainkan dan dikenali sebagai "mainline" ataupun 6...Nbd7. Dalam satu permainan MSSM 2010, Hitam telah memilih cara yang salah dan telah dihukum oleh Putih.


Lihat permainan berikut :
Putih : Suniil Kali Vanan (Selangor)
Hitam : Tan Wei Hao (Wilayah Persekutuan)
Berpasukan Lelaki Bawah 15 Tahun, Pusingan 5, Papan 3, MSSM 2010, 10 Jun 2010, Kangar, Perlis.


1.e4 c5
2.Nf3 d6
3.d4 cxd4
4.Nxd4 Nf6
5.Nc3 a6
6.Bg5 e5?!


Selepas 6...e5
Hitam memilih cara yang salah untuk bertahan. Menurut John Nunn, dalam bukunya The Complete Najdorf 6.Bg5, ketika memberikan komen terhadap permainan yang mengandungi gerakan balas 6...e5 "Not a single one of these games features a player of IM strength or above as Black." Berdasarkan komen beliau, pemain yang bertaraf IM dan GM tidak akan bermain 6...e5 dalam kedudukan ini!

7.Bxf6!
Gerakan yang terbaik untuk menghukum 6...e5. Kesilapan hitam dalam kedudukan ini ialah pawn d6 akan menjadi backward pawn dan petak d5 yang sepatutnya dijaga oleh pawn-e telah terlajak ke petak e5. Oleh itu, tugas Putih ialah menghilangkan pelindung petak d5 iaitu Knight f6!

7...Qxf6
Sekiranya 7...gxf6 8.Nb3! Pawn d6 sudah menjadi beban bagi hitam.

Selepas 8.Nd5
8.Nd5 Mengambil alih petak d5 yang tidak dijaga sambil menyerang Queen.

8...Qd8
Lari! Dalam kedudukan ini, 2 pieces putih sudah develop sementara semua pieces hitam masih belum bersedia untuk berperang!

Selepas 9.Nf5
9.Nf5
Mengambil alih petak d5 dan f5. Sepatutnya kedua-dua petak ini dilindungi oleh pawn di petak e6. Putih sudah mendapat advantage dalam fasa opening kerana 2 pieces putih sudah develop berbanding hitam. Putih juga memiliki kelebihan dari segi ruang pergerakan yang lebih luas. Kelemahan petak d5 hitam terus dimanfaatkan oleh Knight putih dan seterusnya memenangi pertarungan ini dalam fasa middlegame. 1-0

Dalam satu lagi permainan antara 2 GM, 1 kesilapan kecil dalam pertahanan ini telah membawa padah. Perhatikan game berikut :

Putih : GM Hikaru Nakamura (US)
Hitam : GM Loek van Wely (Dutch)
NH Amsterdam 2010.

1.e4 c5

2.Nf3 d6
3.d4 cxd4
4.Nxd4 Nf6
5.Nc3 a6
6.Bg5 Nbd7!?

Selepas 6...Nbd7
Trend terkini daripada GM, mereka mencuba gerakan yang belum banyak dianalisis oleh GM yang lain.
Menurut GM John Nunn dalam bukunya The Complete Najdorf 6.Bg5, gerakan ini tidak mempunyai reputasi teori yang baik. Hitam bukan sahaja terpaksa bermain secara tepat dalam setiap gerakan untuk mengelakkan bencana akibat kesilapan taktikal, dia juga akan berhadapan dengan masalah secara "positional" dalam fasa middlegame. Kata-kata ini telah ditulis pada 1996. Mari kita lihat apa yang GM van Wely cuba buktikan pada 2010!


7.f4
Menurut John Nunn, gerakan ini akan membenarkan hitam "transpose" kepada line opening yang lain, jadi beliau mencadangkan kepada putih untuk mencuba 7.Bc4.


7...Qb6
Mengancam untuk makan pawn b2. Oppsss, macam sudah transpose kepada poisoned pawn variation. Perbezaannya hanya terletak pada kedudukan pawn e7-e6, dan Knight b8 tidak digerakkan.

Selepas 7...Qb6

8.Qd2!
Membiarkan hitam mengambil pawn b2. Pawn itu mengandungi racun, "Poisoned Pawn", biarkan.... Sekiranya 8.Nb3 (melindungi pawn b2) 8...h6 9.Bh4 dan 9...Qe3+! Alamak, King dan pawn e4 sudah dalam bahaya...


8...Qxb2
Hitam menyahut cabaran untuk menguji sejauh mana racun yang berada pada pawn b2 mampu mematikan Queen...


9.Rb1 Selamatkan Rook sambil menyerang Queen. b-file kini di bawah jajahan putih.


9...Qa3 Lari!!! Satu-satunya tempat untuk menyelamatkan diri...


Selepas 10.Bxf6
10.Bxf6!
Gerakan yang sangat tepat! Menurut GM Sergey Shipov (The British Chess Magazine 10/2010), dalam variasi Poisoned Pawn yang normal, hitam sememangnya sudah bersedia untuk exchange pieces di petak f6. Sekarang hitam sedang menghadapi dilema. Idea putih dalam kedudukan ini ialah untuk melemahkan kedudukan petak e5 yang dikawal oleh pawn d6 dan Nd7.


10...Nxf6 Sekiranya 10...gxf6, 11.Nd5!.


11.e5 dxe5 12.fxe5
Serangan putih yang bertali arus harus ditangani dengan bijaksana oleh hitam. Sebarang kesilapan akan membawa padah!


Selepas 12.fxe5
12...Nd7?
Kesilapan oleh GM yang tidak boleh dimaafkan. Knight hitam menghalang laluan untuk Queen hitam berundur! Satu-satunya gerakan yang tepat ialah 12...Ng4! Menurut John Nunn, permainan boleh bersambung dengan 13.Nd5 Qc5 14.Nb3 Qc6 15.Na5 Qd7 (tempat untuk Queen berundur!) 16.Nc4.


Apa yang lebih menariknya ialah GM Loek van Wely baru sahaja menganalisis permainan IM Bryan Smith - GM Victor Laznicka, World Open 2010, USA dalam majalah New In Chess (2010/6). Dalam kejohanan tersebut, GM Laznicka dari Czech telah menjuarai kejohanan tersebut dan ketika berhadapan dengan IM Bryan Smith yang bermain putih, beliau bermain variasi yang sama seperti yang dimainkan van Wely. Bezanya, GM Laznicka bermain 12.Ng4! dan van Wely telah memberikan analisis mengapa 12.Nd7? adalah salah! Dan sekarang beliau telah menunjukkan kepada dunia dalam permainan sebenar, bagaimana 12.Nd7? dihukum kesilapannya!


13.Nd5!
Mengancam fork di petak c7. Perhatikan kedudukan pieces putih yang menyerang kedudukan King hitam berbanding piece hitam yang bertahan.

Selepas 13.Nd5
13...Qc5 Melindungi petak c7.


14.Nb3 Menyerang Queen.


14...Qc6 Queen terikat untuk mempertahankan petak c7.


15.Na5! Di sinilah pentingnya petak d7 untuk Queen!


Selepas 15.Na5
 15...Qc5 Satu-satunya petak yang ada untuk melarikan diri sambil menjaga petak c7.


16.Nxb7!
Memanfaatkan kelebihan b-file. Terbukti b2 pawn benar-benar mengandungi racun berbisa!


16...Qc6
GM Lubomir Kavalek dalam Huffington Post menyatakan inilah cara untuk kalah secara cantik! Hitam boleh mencuba 16...Bxb7 17.Rxb7 Rc8 18.Bxa6 Qc6 19. Ra7 etc. namun tetap sukar untuk bertahan.
Selepas 16...Qc6


17.Rb6!!
Gerakan yang amat cantik, menyebabkan Queen hitam sudah tidak boleh melindungi petak c7 lagi dan diikuti oleh ancaman checkmate! Dan tanpa menunggu 17...Nxb6 18.Nf6+! exf6 19.Qd8# Hitam menyerah kalah. 1–0


Pengajaran :
1) Sekiranya ingin bermain Sicilian Najdorf, pastikan persediaan adalah mencukupi kerana sebarang kesilapan dalam fasa opening akan membawa padah!
2) Gerakan balas bagi 6.Bg5 ialah sama ada memilih 6...e6, ataupun 6...Nbd7, namun sepatutnya dielakkan daripada bermain variasi 7.f4 Qb6!? yang agak berisiko, kerana menurut GM Sergey Shipov 7...Qc7 adalah lebih solid.
3) Memetik kata-kata van Wely kepada Nakamura selepas daripada kekalahan ini : "My memory started to go when I was 25 [years-old]!" GM pun boleh terlupa, apatah lagi kita...


Selamat menyambut Maulidur Rasul!

Armanov,
Bandar Seri Botani, Ipoh.